Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR- Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah meminta supaya pihak polis menjalankan siasatan penuh, telus dan adil terhadap dakwaan seorang lelaki yang mengatakan dia telah dipukul oleh seorang kerabat diraja Pahang bersama sekumpulan lelaki.

“Justeru, saya menyeru pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana pihak agar keadilan dapat ditegakkan.

“Sekiranya terbukti kesalahan dilakukan, ia hendaklah dibawa ke mahkamah untuk dituduh dan dibicarakanya,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Tengku Hassanal merujuk kepada laporan media mengenai seorang lelaki, Awang Alias, 44, mendakwa diserang seorang kerabat Pahang bersama sekumpulan lelaki, Jun lalu.

Katanya, kejadian berlaku di sebuah kandang kuda di sekitar Kuantan, Pahang apabila mangsa mendakwa telah dipukul, ditikam dan ditembak dengan dua das tembakan.

Difahamkan mangsa merupakan pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan dihubungi oleh seorang individu dipercayai orang suruhan anak kerabat berkenaan untuk bertemu dengannya.

Beliau kemudan diserang oleh kira-kira 20 orang termasuk anak kerabat berkenaan di mana seorang rakannya telah menyerang mangsa dengan menikam peha kanan menggunakan pisau.

Manakala ’anak Tengku’ pula melepaskan tembakan ke arah kaki Aliasn namun tidak mengenai sasaran.

Susulan itu mangsa membuat laporan polis pada 8 Jun lalu selepas dua hari insiden berkenaan berlaku.

Terdahulu, Tengku Mahkota Pahang itu menerusi instagram story berkata: “Tiada siapa mengatasi undang-undang, termasuklah kerabat.”

Tangkap layar instagram story Tengku Hassanal

Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserah kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya berhubung dakwaan berkenaan.- MalaysiaGazette