Foto FB KDA FC.

KUALA LUMPUR – Pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dilaporkan telah memboikot sesi latihan yang kini didakwa telah memasuki hari kedua.

Perkara tersebut telah didedahkan oleh wartawan Astro Arena dalam satu hantaran di laman X miliknya.

Difahamkan, para pemain Kedah tidak menerima gaji mereka dan hanya menerima satu bulan setengah gaji sahaja daripada pihak pengurusan kelab.

“KDA FC KRITIKAL. Hari ini memasuki hari kedua pemain Kedah boikot latihan. Difahamkan sepanjang 2024, pemain hanya dibayar 1.5 bulan sahaja. Itu pun secara ansuran.

“Selepas Habib & Fikri Che Soh, ramai lagi pemain bakal tinggalkan Kedah. Lebih parah, Kedah masih dalam transfer ban,” tulis wartawan sukan itu.

Perkembangan terbaru itu membimbangkan penyokong Kedah yang baru sahaja kehilangan arkitek mereka Habib Haroon yang bertindak menamatkan kontrak lebih awal dan berhijrah ke Bahrain menyertai Sitra FC.

Sebelum ini, pemain pertahanan Kedah seperti Irfan Zakaria telah bersuara mengenai masalah dalaman yang dihadapi dan dia meluahkan rasa rindu terhadap gaji yang sudah lama tidak diterima. – MalaysiaGazette

Irfan Zakaria. Foto FB KDA FC.