Kementerian Pengajian Tinggi. foto FAREEZ FADZIL, 04 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke universiti awam peringkat Sarjana Muda Sesi Akademik 2024/2025 bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang setaraf (STAM, Matrikulasi, Asasi dan Diploma) akan diumumkan esok.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, keputusan itu boleh disemak bermula pukul 12 tengah hari esok, sehingga pukul 5 petang pada 15 September depan.

Katanya, keputusan itu boleh disemak melalui secara atas talian di pautan https://jpt.utm.my; https://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.ums.edu.my dan https://jpt.umt.edu.my serta melalui Aplikasi Mobile UPUPocket di telefon pintar.

Jelasnya, pengesahan setuju terima tawaran boleh dibuat bermula 7 September hingga 15 September depan di laman web universiti masing-masing,

Sementara itu, tambahnya, surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh universiti kepada pemohon berjaya bermula 7 September ini setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan.

“Hanya pemohon yang tidak berjaya mendapat tawaran sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke UA di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai pukul 12 tengah hari, 6 September hingga pukul 5 petang, 15 September.

“Tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2024/2025 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan universiti awam tidak dibenarkan.

“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian,” demikian menurut kenyataan itu hari ini. – MalaysiaGazette