Ihsan Foto : KPDN Kelantan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan telah menyita pelbagai peralatan karaoke bernilai RM11,800 dalam satu operasi di sebuah premis hiburan di Jalan Kebun Sultan di Kota Bharu malam tadi.

Menurut pengarahnya, Azman Ismail, operasi itu telah dijalankan kira-kira pukul 9 malam oleh pihaknya dengan kerjasama wakil pemilik hak cipta serta Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor.

“Pemeriksaan di lanjut mendapati ada set karaoke yang mengandungi salinan langgaran karya rakaman filem, bunyi dan lagu yang digunakan bagi tujuan perniagaan.

“Sitaan unit set karaoke, cakera keras karaoke, monitor, penguat suara, penerima mikrofon, dua mikrofon, sebuah television, kabel sambungan, pembesar suara, suis penyesuai, tetikus dan tujuh salinan langgaran karya salinan rakaman filem, bunyi dan lagu yang dianggarkan bernilai kira-kira RM11,800 untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Kesalahan itu akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) (d) Akta Hak Cipta 1987.

Jika disabitkan kesalahan seseorang itu boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjarakan tidak melibihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dengan ini, KPDN ingin mengingatkan semua pihak yang menggunakan karya hak cipta bagi aktiviti perniagaan untuk memohon kelulusan daripada pemilik hak cipta bagi mengelak tindakan tegas mengikut Akta Hak Cipta 1987. – MalaysiaGazette