BAYAN LEPAS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menahan seorang pemandu lori selepas disyaki cuba menyeleweng minyak diesel di sebuah stesen minyak di sini, semalam.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, lelaki itu ditahan anggota penguat kuasa menerusi Op Tiris 3.0 bersama sebanyak 594 liter minyak diesel bersubsidi yang dipercayai mahu diseleweng.
Katanya, sebaik tiba di lokasi pihaknya mendapati lelaki berkenaan sedang mengisi cecair disyaki minyak diesel menerusi pam ke dalam sebuah tong drum di atas lori.
“Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan tiga unit tong drum berisi sebanyak 594 liter minyak diesel dan tiga lagi tong drum kosong.
“Selain lori jenis Daihatsu, turut disita bagi tindakan lanjut ialah enam bekas minyak (jerigen) dan dokumen resit belian minyak.
“Rampasan minyak diesel tersebut dianggarkan bernilai RM1,888 manakala nilai anggaran keseluruhan termasuk barang rampasan berjumlah RM17,308,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenalpasti individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti atau rantaian pengedaran minyak diesel termasuk sumber ia diperoleh dan edaran mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.
Tambah Jegan, KPDN Pulau Pinang giat melakukan pengawasan dan rondaan sekitar negeri ini bagi mengekang ketirisan aktivti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.
”Kita tidak akan berkompromi dalam penguatkuasaan undang-undang di bawah KPDN khususnya membabitkan penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi diesel iaitu satu kepentingan awam yang perlu diselia serta dijaga,” katanya. – MalaysiaGazette