wee ka siong
Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran melibatkan Kerajaan Singapura dan syarikat milik kerajaan itu (GLC) sebagai rakan kongsi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura seperti rancangan asal.

Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, ia juga akan memastikan potensi lebih besar bagi projek Bandar Malaysia dengan menggalakkan lebih banyak syarikat Singapura memindahkan sebahagian operasi mereka ke tapak tersebut.

Selain itu, tambah beliau, kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk mengambil semula pemilikan atau hak untuk membangunkan projek HSR bersama-sama projek Bandar Malaysia.

Ujar Ka Siong projek itu tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada swasta semata-mata tanpa bantuan kerajaan.

Dalam masa sama, kata beliau, kerajaan juga perlu membenarkan satu konsortium membangunkan kedua-dua projek HSR dan Bandar Malaysia sebagai satu pakej bukan secara berasingan.

“Projek HSR tidak boleh dilihat secara berasingan. Sebaliknya, ia mesti seiring dengan projek Nilai Pembangunan Kasar (Gross Development Value, GDV) Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion yang juga menjadi stesen penting HSR.

“Idea asal adalah untuk meraih keuntungan projek Bandar Malaysia yang sangat berdaya maju bagi membiayai silang projek HSR.

“Malah jika ia dilakukan dengan betul maka keuntungan projek Bandar Malaysia dengan mudah dapat membayar keseluruhan atau kos yang besar bagi projek HSR ini,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook hari ini.

Tambah Ka Siong yang juga Presiden MCA, mengikut pelan asal, HSR sepatutnya memulakan operasi menjelang 2026 dengan kos pembinaan RM70 bilion iaitu hanya berbaki dua tahun dari sekarang.

Namun sejak pertukaran kerajaan pada 2018, katanya, projek infrarakyat itu mengalami banyak kelewatan, penangguhan, penggantungan dan pembatalan sebelum dihidupkan semula.

Bagaimanapun sehingga ke hari ini, tidak dapat dipastikan sama ada projek tersebut masih boleh diteruskan atau sebaliknya.

“Laporan media baru-baru ini mengatakan bahawa harga projek tersebut meningkat kepada RM120 bilion, berbanding pelan asal RM70 bilion.

“Ini menimbulkan keraguan terhadap kebolehlaksanaan projek, terutamanya jika kerajaan Madani mahu projek ini dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta.

“Eurostar London-Paris HSR memerlukan 20 tahun sebelum ia mula menjana keuntungan dan terdapat keraguan bahawa mana-mana perusahaan swasta mampu untuk menanggung kos pembinaan tersebut sebelum dapat menikmati hasil keuntungannya,” katanya.

Tambah Ka Siong, selepas banyak kajian dilakukan, tiada siapa boleh menafikan manfaat limpahan ekonomi dan sosial daripada projek HSR ini.

“Semakin lama kita menunggu projek itu dimulakan, semakin lama negara kehilangan manfaat ekonomi dan sosial ini,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi MyHSR Corporation Sdn. Bhd,, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman berkata, keputusan mengenai kebolehlaksanaan projek mega HSR Kuala Lumpur-Singapura dijangka diumumkan pada penghujung suku keempat tahun ini.

Ujar beliau, kerajaan kini sedang dalam fasa kajian menyeluruh terhadap projek tersebut, dengan tumpuan khusus kepada kesan ekonomi jangka panjang serta kedudukan fiskal negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast