Aaron Ago Dagang.

KUALA LUMPUR – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyeru wakil-wakil agama memanfaatkan tiga biro di bawah Jawatankuasa Harmoni dalam mencari solusi dan penyelesaian kepada isu-isu berhubung keharmonian antara penganut agama.

Menurut beliau, salah satunya adalah Biro Pengurusan Isu Agama dan Mediasi yang memberi tumpuan dalam usaha merungkai isu-isu dan konflik berkaitan agama yang berlaku dalam kalangan masyarakat yang perpotensi mengancam perpaduan dan kesejahteraan.

Jelas beliau, wakil-wakil agama juga perlu menjadikan mediasi sebagai kaedah penyelesaian alternatif bagi tujuan pendamaian atau menyelesaikan apa-apa pertikaian dan perselisihan dalam kalangan anggota masyarakat yang berbilang agama dan bangsa.

“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harmoni (JK HARMONI) yang dikendalikan bersama oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah menubuhkan tiga biro (sub jawatankuasa) yang bertujuan untuk memastikan gerak kerja yang lebih efektif dalam melaksanakan inisiatif keharmonian antara agama di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kontroversi berkaitan kenyataan kumpulan antara agama bukan Islam, Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) mengenai penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) di jabatan kerajaan dan kementerian.

MCCBCHST dalam satu kenyataan berkata, cadangan itu berpotensi menjejaskan jaminan Perlembagaan termasuk hak asasi yang dilindungi Perkara 5 hingga 13, yang juga membentuk struktur asas Perlembagaan.

Dalam pada itu, Aaron turut menggesa semua rakyat memahami konsep Faham, Hormat dan Terima bagi merapatkan perbezaan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

Jelas beliau, konsep itu sebagai prinsip asas bukan sahaja bertujuan memperkukuh semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat, bahkan dapat menangani isu-isu yang berkaitan dengan keharmonian antara penganut agama, meningkatkan sifat hormat-menghormati dan mengukuhkan pemahaman.

Sementara itu, ujar Aaron, pihaknya menerusi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) sentiasa bersedia menyediakan perkhidmatan Mediator Komuniti dalam mengurus isu-isu perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini.

Kata beliau, seramai 562 Mediator Komuniti telah dilantik sebagai pendamai masyarakat yang dikenali dalam membendung dan mengurus isu-isu perpaduan atau konflik sosial di peringkat komuniti.

“Walaupun wujud perbezaan daripada kepelbagaian yang menjadi cabaran dalam mengukuhkan perpaduan namun jika ianya diuruskan dengan baik, kepelbagaian ini menjadi kekuatan negara dalam membentuk Malaysia Madani yang harmoni dan bersatu-padu,” katanya. – MalaysiaGazette