KUALA LUMPUR – Pejabat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menafikan sebaran palsu berkaitan kenyataan menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Dalam satu kenyataan, KPKM berkata, Mohamad tidak pernah mengeluarkan kenyataan “pesawah diminta berjimat cermat menggunakan baja bagi membantu kerajaan” seperti yang ditularkan dalam satu poster.
“Pejabat Menteri juga ingin mengesahkan tangkap layar yang dibuat adalah palsu,” kata KPKM dalam satu kenyataan hari ini.
KPKM dalam kenyataan sama berkata, pihaknya telah membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung penyebaran kenyataan palsu berkenaan.
“Ia bagi membolehkan siasatan dan tindakan yang sewajarnya dikenakan kepada pihak yang membuat hantaran palsu dan tidak benar ini,” jelas KPKM lagi. – MalaysiaGazette