MBPP rampas kuda dan roboh kandang haram yang dibina di Batu Feringghi, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN –  Tindakan pemilik kuda membina kandang haram di atas tanah milik kerajaan di Jalan Batu Feringghi di sini, membawa padah selepas struktur tersebut dirobohkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini.

Turut dirampas dua ekor kuda yang digunakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi menjalani perniagaan aktiviti berkuda di pesisir pantai Batu Feringghi.

Pengarah Penguatkuasaan MBPP, Noorazrein Noorazlan Ong berkata, operasi yang turut membabitkan PDRM dan Pusat Kawalan Vektor dan Veterinar, Bahagian Kesihatan Persekitaran MBPP itu dilakukan susulan aduan dan keselamatan awam.

Selain itu, jelas beliau, penjagaan kuda di persekitaran kandang itu juga didapati tidak sesuai selain saliran kumbahan tidak dijaga dengan baik sekali gus mengalir terus ke sungai.

Operasi perobohan dibuat susulan kandang haram itu dibina atas tanah milik kerajaan.

“Kandang kuda ini dipercayai didirikan sejak setahun lalu dan kuda berkenaan dikatakan  diambil dari Pusat Lumba Kuda kerana kebanyakannya mempunyai cap nombor di bahagian badan haiwan terbabit.

“Notis mengenai struktur pembinaan itu sudah diberi kepada pemilik bagi kerja perobohan sendiri dan pihak MBPP melanjutkan tempohnya sehingga sebulan tetapi sehingga tarikh yang diberikan, bangsal itu tetap ada dan jumlah kuda bertambah kepada tiga ekor berbanding dua ketika pemeriksaan dilakukan.

“Susulan itu, kita lakukan kerja perobohan mengikut Sesyen 81(e) Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang menyebabkan kacau ganggu dan pembinaan di atas tanah kerajaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mengulas lanjut Noorazrein berkata, pihaknya telah mengenal pasti empat lagi kandang hadam di kawasan sama dan tindakan lanjut akan diambil secara berperingkat.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang memutuskan melarang sebarang perkhidmatan aktiviti berkuda ditawarkan di sepanjang pesisir pantai Batu Ferringhi bermula 1 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye berkata, keputusan dibuat susulan beberapa aduan berkaitan perkhidmatan aktiviti berkuda itu terutama isu keselamatan dan kebersihan di kawasan terbabit.

“Terdapat beberapa faktor yang dipertimbangkan seperti kebajikan penjagaan haiwan dan kesalahan pembinaan struktur tanpa kebenaran daripada pihak yang menjalankan aktiviti berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette