Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang mempertingkatkan usaha merakyatkan perkhidmatan awam dan meningkatkan hasil di menerusi kaedah pendigitalan dan teknologi maklumat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, empat strategi dilaksanakan dalam mengaplikasikan kaedah digital berkenaan bagi mencapai sasaran itu.

Jelasnya, kesemua strategi tersebut digunakan bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri mempunyai hala tuju yang jelas dan perancangan jangka panjang untuk kemakmuran Pahang.

Antara strategi yang telah dijalankan oleh kerajaan negeri ialah menerusi pelaksanaan kutipan cukai petak bagi hak milik strata di negeri.

”Pahang melalui Sistem e-Strata Pahang yang telah dibangunkan dengan kos RM1.795 juta telah pun bermula 1 Januari 2024.

”Kedua ialah menambahbaik dan menaiktaraf Sistem Pentadbiran Tanah Negeri Pahang sedia ada kepada Sistem Pentadbiran Tanah Berasaskan Web Negeri Pahang (SPTWeb),” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaann Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Mohd Sharim Md Zin (BN-Chini) mengenai  strategi kerajaan negeri dalam meningkatkan hasil serta mengurangkan ketirisan hasil melalui pemerkasaan pendigitalan dan teknologi maklumat.

Jelas Wan Rosdy, ia meliputi Sistem Hasil Tanah, Secure Land Management System (SELAMAT), Sistem Permohonan Kebenaran Pindah Milik atau Gadaian dan Pajakan Tanah (e-Consent) dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM4.95 juta.

Selain itu pelaksanaan sistem e-Doket bagi menggantikan doket bercetak dalam kerja-kerja mengambil, mengalih dan mengangkut bahan batuan (pasir) bagi Lesen Pendudukan Sementara Bercantum Permit di bawah Seksyen 69 dan Seksyen 71 Kanun Tanah Negara (Akta 828).

”Penggunaan sistem imej satelit dan remote-sensing juga dilaksanakan melalui sistem e-Unified. Sistem ini dilakukan menerusi kerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia bermula daripada 2019 sejak penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang. – MalaysiaGazette

Mengulas lanjut Wan Rosdy berkata transformasi pendigitalan, teknologi maklumat pentadbiran tanah adalah amat penting bagi  memastikan pengurusan dan pentadbiran tanah yang lebih cekap telus serta responsif terhadap keperluan pengguna di era digital. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan :

Lima ADUN lantikan Pahang angkat sumpah