Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar akan bertemu dengan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST), esok.

Ia susulan bantahan MCCBCHST berhubung penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di pejabat-pejabat kerajaan.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataannya berkata, isu itu juga telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang meminta supaya wakil-wakil agama dapat memanfaatkan ketiga-tiga biro di bawah Jawatankuasa Harmoni dalam mencari penyelesaian terhadap isu-isu keharmonian antara penganut agama.

“Konsep faham, hormat dan terima perlu dihayati oleh semua rakyat Malaysia bagi merapatkan perbezaan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama,” katanya.

Terdahulu, MCCBCHST membantah cadangan pegawai agama Islam akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan bagi memastikan keputusan yang dibuat selari dengan prinsip Islam.

Menurut majlis tersebut, cadangan berkenaan berpotensi menjejaskan jaminan Perlembagaan Persekutuan termasuk hak asasi yang dilindungi oleh Perkara 5 hingga 13.

Bagaimanapun, tuduhan berkenaan disangkal Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet, Selasa lalu.

Rentetan itu, Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Aaron dan Mohd Na’im mengadakan pertemuan dengan majlis rundingan tersebut dalam masa terdekat bagi mengurus isu tersebut dengan baik tanpa wujud salah faham.

Mengulas lanjut, KPN melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) sentiasa bersedia untuk menyediakan perkhidmatan Mediator Komuniti dalam mengurus isu perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini.

Seramai 562 Mediator Komuniti dilantik sebagai pendamai masyarakat dalam membendung dan mengurus isu perpaduan atau konflik sosial di peringkat komuniti.

“Walaupun wujud perbezaan daripada kepelbagaian yang menjadi cabaran dalam mengukuhkan perpaduan namun jika ianya diuruskan dengan baik, kepelbagaian ini menjadi kekuatan negara dalam membentuk Malaysia MADANI yang harmoni dan bersatu padu,” kata kenyataan itu.-MalaysiaGazette