KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kedah melahirkan rasa kecewa selepas mendakwa usaha mengatasi masalah keciciran pelajar di negeri itu tidak mendapat sokongan Jabatan Pendidikan Negeri dipercayai kerana perbezaan politik dengan Pusat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri Kedah, Datuk Mohd. Azam Abd. Samat berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi penganjuran Program Pemimpin Komuniti Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPAS) yang diuruskan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.
Jelasnya, program itu berlangsung tanpa penyertaan Pengetua dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah yang mana mereka adalah pihak yang paling utama menentukan arah tuju pembangunan institusi pendidikan menengah.
“Kami dimaklumkan bahawa ketidakhadiran mereka adalah disebabkan adanya ‘arahan’ daripada pihak Jabatan Pendidikan Negeri yang menghalang guru-guru terlibat dalam program yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri walaupun program diadakan di luar kawasan sekolah sedangkan program ini boleh sahaja dihadiri oleh ketua kampung dan imam masjid.
“Jika institusi sekolah tidak dapat berfungsi sepenuhnya dalam kerangka sebenar kerana ‘arahan atasan’ maka agenda memperkasa sektor pendidikan di Kedah tidak mampu dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dakwa Mohd. Azam, situasi sama turut berlaku di Jabatan Penerangan dan Jabatan Penyiaran Negeri di bawah Kementerian Komunikasi yang dilihat dihalang untuk bekerjasama dengan mana-mana program yang dianjurkan Kerajaan Negeri Kedah.
Ujar beliau, situasi itu memperlihatkan tindak-tanduk segelintir Menteri dan Timbalan Menteri Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang masih tebal membawa politik kepartian dalam pentadbiran Kerajaan.
“Ini sudah pasti akan merencatkan kerjasama serta urus tadbir baik bagi memastikan setiap inisiatif kerajaan memberi manfaat kepada rakyat seluruhnya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menangani isu secara serius tanpa mengira latar belakang politik untuk membuktikan kewibawaan beliau dalam memimpin negara dengan pendekatan ‘walk the talk’.
Tegasnya, hubungan kerajaan dengan kerajaan membabitkan urusan negeri dan Persekutuan wajar ditangani secara profesional.
“Mana-mana penjawat awam termasuklah wakil rakyat sendiri harus melaksanakan tugas dan tanggungjawab mengenepikan perbezaan politik yang ada demi memperkasakan agenda pendidikan kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
Mohon pihak penganjur lepas ini buat saja sesi video live acara2 tersebut supaya warga2 yang dihalang ini boleh join wlpun dari rumah. Jangan jadikan usaha mereka2 tersebut sbg halangan kerja baik kerajaan negeri.