JASIN – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu syarikat korporat termasuk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang berjaya menjadi penyumbang kepada kumpulan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, melalui kerjasama dengan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) umpamanya, ia dapat mengetengahkan potensi OKU ke peringkat lebih tinggi.
Beliau turut menjadikan contoh kejayaan beberapa atlet paralimpik negara yang berjaya memperoleh pingat dalam temasya Sukan Paralimpik Paris 2024.
“Ini membuktikan golongan OKU mampu berjaya menerusi bantuan serta sokongan semua pihak dan kita berilah sokongan kepada aktiviti yang membabitkan golongan OKU.
“Keprihatinan ini harus dicontohi bukan sahaja syarikat gergasi bahkan syarikat IKS juga boleh menyumbang menjayakan program anjuran PPDK dalam membangunkan Malaysia MADANI,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Program Semarak Merdeka MADANI 2024 PPDK Jasin di Jasin Bestari, di sini, hari ini.
Kelmarin, Anwar menzahirkan ucapan tahniah kepada Cheah Liek Hou, selepas jaguh badminton para negara itu menyumbang pingat emas pertama Malaysia melalui Sukan Paralimpik Paris 2024.
Liek Hou muncul juara menerusi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) pada acara yang berlangsung malam tadi.
Anwar turut mengucapkan tahniah kepada kepada jaguh olahraga para negara Muhammad Ziyad Zolkefli yang meraih pingat perak dalam acara lontar peluru. – MalaysiaGazette