Suspek curi rantai emas di bandr Botanik Klang dalam kejadian 3 September lalu diburu polis-Ihsan Gambar IPD Klang Selatan

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki mencuri rantai emas di sebuah kedai emas di Bandar Botanik, Klang, Selangor pada 3 September lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang perempuan tempatan mengenai insiden itu.

Katanya, dalam laporan polis itu pengadu yang merupakan jurujual kedai emas berkenaan menyatakan bahawa pada jam 1.40 petang seorang pelanggan lelaki datang ke kedainya dan mengambil rantai emas sebelum melarikan diri menggunakan sebuah motosikal.

“Hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku di kedai emas yang terletak di Bandar Botanik, Klang yang mana suspek lelaki dewasa masuk ke kedai untuk mencari dan membeli rantai emas bagi pemberian hadiah kepada ibunya.

“Pengadu telah mengeluarkan dan menunjukkan rantai leher yang dipilih suspek. Kemudian suspek telah keluar dari kedai untuk bercakap menggunakan telefon bimbitnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, selepas itu suspek masuk semula ke dalam kedai emas dan mengambil rantai emas tersebut sebelum melarikan diri menggunakan motosikal yang diparkir di hadapan kedai itu.

“Berikutan insiden itu, bertindak atas laporan yang diterima dari pengadu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, pihak polis telah mengenalpasti identiti suspek yang terlibat dalam kes curi kedai emas itu sebagai Muhamad Syafiq Zaharuddin berusia 28 tahun.

“Polis telah mempergiatkan usaha untuk menjejaki dan menangkap suspek terbabit,” ujarnya. – MalaysiaGazett