KUALA LUMPUR – Perselisihan faham akibat halangan parkir di kawasan perumahan di Blok C Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kepong seperti video yang tular baru-baru ini menjadi punca seorang lelaki cedera ditetak.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata kejadian berlaku pada jam 5.30 petang, Rabu lalu.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 04/09/2024 jam lebih kurang 5.30 petang semasa pengadu berada di kawasan parkir Blok C PPR Pekan Kepong, pengadu dapati motokar jenis Produa Alza telah dihalang oleh sebuah motokar jenis Perodua Myvi.
“Pengadu bertindak membunyikan hon beberapa kali namun tiada respon. Pada jam lebih kurang 6.00 petang, seorang lelaki telah berjalan ke arah kereta Myvi tersebut dan berlaku pertengkaran mulut antara suspek dengan anak saudara pengadu.
“Suspek bertindak menumbuk muka dan menetak kepala dan tangan anak saudara pengadu dengan menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya ketika sidang media.
Menurut beliau, polis kemudian menahan lelaki warga tempatan, 27 tahun yang bertindak menetak mangsa.
Turut dirampas, sebilah pisau pemotong yang digunakannya ketika kejadaian.
“Turut dirampas sebuah motokar Perodua Myvi dan segugus kunci. Akibat dari insiden ini, anak saudara pengad telah mengalami kecederaan luka di kepala dan tangan sebelah kiri akibat ditetak. Suspek kini direman di IPD Sentul bermula hari ini hingga 10 September untuk membantu siasatan,” katanya.
Ujarnya siasatan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau kesalahan dadah dan kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.
Mengulas lanjut Ahmad Sukarno berkata, mangsa tetakan menerima 35 jahitan dan dirawat di Hospital Selayang.
“Mangsa kini berada dalam keadaan stabil serta diletakkan di bawah pemerhatian pihak hospital,” katanya lagi.-MalaysiaGazette