Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada perasmian Persidangan Perundangan Antarabangsa berhubung Ancaman Dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AIZAT ZAINAL, 05 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat penubuhan Syarikat State Goverment (SG4) Group Sdn Bhd mempunyai potensi yang cukup besar kepada empat negeri yang ditadbir oleh pembangkang.

Malah, beliau merasakan keempat-empat negeri yang melaksanakan penubuhan syarikat itu mempunyai strategi sendiri untuk menguruskannya.

Ahmad Zahid berkata, meskipun ia boleh dilaksanakan namun ia masih tertakluk kepada percukaian dan ekosistem yang ditentukan oleh kerajaan Pusat.

“Saya melihat bahawa SG4 yang ditubuhkan itu mempunyai maksud yang baik.

“Namun, kita tahu bahawa harga REE (teknologi pemprosesan industri berkaitan unsur nadir bumi) di pasaran dunia kini telah merosot sebanyak 70 peratus. Ini disebabkan oleh dumping atau lambakan REE di pasaran dunia dengan pengeluaran ‘stockpile’ oleh negara tertentu.

“Jadi, walaupun harganya turun 70 peratus daripada harga asal, namun potensinya cukup besar dan empat negeri ini tentunya mempuyai strategi sendiri.

“Tapi, ia masih tertakluk kepada percukaian dan ekosistem yang telah ditentukan oleh kerajaan Persekutuan bagi tujuan eksport,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perundangan Antarabangsa berhubung Ancaman Dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Hadir sama pada Majlis itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Media sebelum ini melaporkan, empat negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu menubuhkan sebuah syarikat bagi membolehkan hasil yang diperoleh negeri berkenaan diagihkan secara saksama.

Ketua Panel Penasihat State Government 4 (SG4), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, syarikat yang dinamakan SG4 Group Sdn Bhd itu akan memberi fokus kepada lima kluster ekonomi, dengan setiap negeri mempunyai pegangan ekuiti 25 peratus.

Beliau berkata, kluster berkenaan adalah infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan industri; pertanian dan sekuriti makanan; pendidikan dan modal insan serta sumber pendapatan baharu. – MalaysiaGazette