KUALA LUMPUR – Penubuhan Syarikat State Goverment (SG4) Group Sdn Bhd bakal memperkasakan ekonomi di keempat-empat negeri yang ditadbir pembangkang menerusi sinergi bersama.
Pandangan itu dilontarkan Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan yang memberitahu, ia boleh berlaku kerana setiap negeri mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.
“Maka SG4 ini dapat membantu negeri-negeri yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Shahir berkata, dari sudut politik, SG4 sememangnya terbentuk melalui gabungan Parti Perikatan Nasional (PN) dan ia menunjukkan adanya perpaduan antara negeri-negeri yang ditadbir pembangkang.
Katanya, ia sama seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sabah.
“Namun begitu, kebajikan rakyat dan kemajuan negeri adalah keutamaan,” ujarnya.
Shahir menambah, disebabkan itu, salah satu daripada lima prinsip teras yang menjadi panduan SG4 dalam setiap program yang dijalankan adalah menggembleng kerjasama dengan semua pihak termasuk dengan Kerajaan Persekutuan dan pihak swasta agar kemajuan ekonomi negeri dapat direalisasikan.
Terdahulu, dalam kenyataan sama Shahir berkata, SG4 sebenarnya merujuk kepada pembentukan satu kerjasama strategik yang berfokus untuk pembangunan sosioekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Katanya, perkara itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu kerana ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, beliau telah mencadangkan penubuhan membangun lapan organisasi untuk kerjasama ekonomi atau D8 di mana Malaysia menjadi tuan rumah.
Ujarnya, SG4 memberi fokus kepada lima kluster iaitu infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan perniagaan; pertanian dan sekuriti makanan; pendidikandan modal insan serta sumber asli dan pendapatan baharu.
Disebabkan itu kata beliau, salah satu daripada lima prinsip teras yang menjadi panduan SG4 dalam setiap program yang dijalankan adalah menggembleng kerjasama dengan semua pihak termasuk dengan Kerajaan Persekutuan dan pihak swasta agar kemajuan ekonomi negeri dapat direalisasikan. – MalaysiaGazette