Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, menunjukkan barang rampasan pada sidang media berkenaan Kejayaan Menumpaskan Sindiket Pengedaran Dadah Ketamin dan Ekstati di Lembah Klang dengan Nilai Rampasan RM 1.6 Juta di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 05 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Taktik licik sindiket dadah yang menjadikan sebuah kondominium mewah sebagai tempat penyimpanan dan pengedaran barang terlarang itu berjaya dibongkar.

Tiga suspek yang disyaki ahli sindiket pengedaran itu berjaya diberkas polis dalam satu serbuan pada 2 September lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sekitar pukul 11.35 pagi hingga 5 petang Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Kuala Lumpur telah melancarkan satu operasi khas sekitar ibu negara dan Selangor.

Dalam operasi berkenaan tiga lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 30 tahun berjaya diberkas di sekitar Cheras.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas mereka berjaya membawa kepada penemuan dan rampasan satu beg berwarna hijau dijinjit suspek pertama yang mengandungi dadah jenis ketamin anggaran berat 10.5 kilogram bernilai setengah juta ringgit.

“Susulan tangkapan pertama itu, polis telah melakukan serbuan di sebuah rumah jenis kondominium mewah berpagar dan berkawalan keselamatan di Cheras Perdana pada hari yang sama.

“Hasil pengeledahan berjaya membawa kepada penemuan tiga bungkusan plastik lutsinar berisi dadah disyaki ekstasi seberat 5.2 kilogram dan dua lagi bungkusan plastik putih mengandungi ketamin seberat empat kilogram,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah Rusdi, siasatan lanjut mendapati sindiket yang sama menggunakan modus operandi dengan mendapatkan bekalan dadah dari luar negara di utara Semenanjung iaitu Thailand.

“Kemudian bekalan yang dibawa masuk ke dalam negara akan disimpan oleh sindiket di unit kondominium mewah yang disewa dengan kadar RM2,000 hingga RM2,500 sebulan sebagai tempat menyorok sebelum diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek pertama dan kedua dikesan positif THC dan ketamin,” ujarnya lagi.

Tegas Rusdi lagi, sindiket itu bergiat aktif dalam pengedaran dadah sejak enam bulan lalu dan nilai rampasan keseluruhan dadah dianggarkan bernilai RM1.6 juta.

Dalam operasi sama, katanya, polis turut berjaya menyita wang tunai berjumlah RM900, barang kemas bernilai RM4,000, kereta Perodua Myvi bernilai RM62,000.

“Kesemua suspek kini direman selama enam hari sehingga 9 September depan untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati,” kata Rusdi lagi. – MalaysiaGazette