Syamsul Yusof dan Ira Kazar.

KUALA SELANGOR – Pengarah kontroversi, Syamsul Yusof tidak mahu mengulas lanjut berhubung perceraiannya dengan bekas isteri, Ira Kazar yang jatuh talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor di sini hari ini.

Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof, 40, hanya melahirkan rasa syukur dan meminta orang ramai menghormati pilihannya.

“Saya tiada komen. Alhamdulillah, semuanya selesai. Tiada sebab nak kongsi. Saya tak mahu kongsi,” katanya ringkas ketika ditemui selepas keluar dari dewan bicara selepas selesainya prosiding pengesahan lafaz cerai taklik berkenaan.

Pengarah filem Munafik itu berterima kasih kepada mana-mana individu yang banyak memberikan kata-kata semangat.

“Saya banyak terima mesej menerusi WhatsApp dan dalam media sosial. Mereka doakan yang baik-baik, terima kasih,” katanya.

Ditanya mengenai komen yang pernah dikeluarkan bapanya yang juga penerbit dan pengarah, Datuk Yusof Haslam yang sentiasa mendoakan terbaik untuknya, Syamsul mengharapkan orang ramai menghormati urusan keluarganya.

“Alhamdulillah, saya tak kisah tentang yang lain. Itu urusan keluarga yang sepatutnya diselesaikan antara ahli keluarga. Macam saya cakap, apa sahaja isu peribadi, saya pilih untuk tidak kongsi dengan orang ramai termasuk hal apa pun.

“Kalau ada isu keluarga, kita tak boleh libatkan sesiapa sahaja, betul tak? Sebab semua ini boleh mengeruhkan keadaan.

“Itu sahaja yang mampu saya cakap. Kita doakan yang terbaik. Kalau apa sahaja saya cakap, pasti akan jadi tajuk berita,” katanya memetik laporan BH Online.

Pagi tadi, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik yang dilafaz oleh Syamsul terhadap Ira ketika masih bergelar suami isteri.

Lafaz cerai taklik ialah lafaz cerai yang dilafaz oleh suami dengan meletakkan syarat taklik dan jika isteri melanggar syarat tertentu, maka boleh menyebabkan jatuh talak.

Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib mengesahkan perkara itu selepas Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin selaku plaintif memfailkan lafaz cerai taklik pada 21 Ogos lalu.

Peguam syarie mewakili Ira Kazar, Mohammad Fadhil Abdul Razak berkata mahkamah mengesahkan berlakunya lafaz taklik, sekali gus jatuh talak satu. – MalaysiaGazette