Kebakaran berlaku di Akademi Hillside Endarasha, Kenya mengorbankan sekurang-kurangnya 17 murid. Foto media sosial

NAIROBI- Sekurang-kurangnya 17 kanak-kanak maut dalam kebakaran di dorm sekolah rendah mereka, di tengah Kenya, pada Jumaat.

Pihak polis berkata, insiden yang berlaku di Akademi Endarasha Hillside, Nyeri itu terjadi tengah malam tadi, ketika kanak-kanak berkenaan sedang tidur.

Sekolah rendah berkenaan menempatkan kira-kira 800 murid berusia antara lima dan 12 tahun.

“Terdapat 17 kematian akibat insiden itu manakala 16 lagi mangsa mengalami kecederaan serius telah dibawa ke hospital,” kata jurucakap polis kebangsaan, Resila Onyango kepada AFP.

Katanya, mayat yang ditemukan di lokasi kejadian rentung sehingga tidak dapat dikenal pasti identiti masing-masing.

Tambah beliau, lebih banyak mayat dijangka dapat ditemukan selepas ini.

Menurut Resila, punca kebakaran masih belum dikenal pasti namun siasatan telah pun dimulakan.

Dalam pada itu, Presiden William Ruto menzahirkan ucapan takziah kepada waris mangsa.

“Ingatan dan doa kami kepada keluarga kanak-kanak yang telah kehilangan nyawa dalam tragedi ini.

“Berita ini sangat mendukacitakan,” katanya menerusi hantaran di X.

Beliau juga telah mengarahkan para pegawainya melakukan “siasatan teliti berhubung insiden mengerikan itu.”

Beliau turut berjanji untuk memastikan pihak bertanggung jawab akan dihadap ke muka pengadilan.

Sekolah berkenaan terletak di wilayah Nyeri, kira-kira 170 kilometer di utara Narobi.- AFP