SPRM hakim
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Siasatan terhadap YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL) berhubung tender perkhidmatan 1BestariNet adalah telus, adil dan profesional tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan, siasatan berkaitan tender bernilai RM4.07 bilion daripada Kementerian Pendidikan itu dibuat berdasarkan aduan yang diterima.

Ia juga berdasarkan maklumat menerusi Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang baharu diterima Ogos lalu.

Siasatan juga katanya adalah berdasarkan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Hasil dua laporan ini mendedahkan terdapat beberapa kelemahan antaranya seperti aspek capaian liputan jalur lebar yang rendah, kelemahan teknologi infrastuktur, lokasi sekolah selain capaian jalur lebar yang tidak menyeluruh.

“Justeru itu, tidak timbul isu mengapa siasatan dibuat setelah projek 1BestariNet ditamatkan pada 2019 kerana menjadi tanggungjawab SPRM untuk menjalankan siasatan secara profesional apabila mendapat maklumat baharu, khususnya yang melibatkan peruntukkan dana kerajaaan untuk pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah SPRM, pihaknya juga menerima maklumat awam dan aduan daripada pihak tertentu mengenai kegagalan projek berkenaan beri capaian jalur lebar dengan kelajuan sebagaimana dikehendaki.

Menurut suruhanjaya itu lagi, berdasarkan maklumat diterima, tender perkhidmatan 1BestariNet pada asalnya membabitkan jumlah RM4.07 bilion untuk tempoh 15 tahun.

Bagaimanapun, ia dipendekkan kepada tujuh tahun enam bulan tanpa ada pengurangan dari segi nilai kontrak.

“Walaupun perkhidmatan yang diberikan tidak mencapai matlamat, difahamkan masih ada beberapa tuntutan yang dibuat oleh syarikat berkenaan kepada pihak kementerian terbabit yang memerlukan siasatan terperinci bagi mengesahkan perkara itu,” katanya lagi.

Tambah SPRM, sehingga kini, siasatan mendapati kerajaan perlu menanggung RM176 juta yang dituntut oleh YTL.

Namun maklumat tuntutan tersebut belum dapat disahkan oleh kerajaan selain kerugian sewaan pencawang telekomunikasi bagi tempoh lima tahun sejak 2019 yang dianggarkan berjumlah RM10.8 juta.

“Sehubungan itu, SPRM berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini kerana isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa seharusnya tidak boleh dikompromi,” katanya lagi.- MalaysiaGazette