Para petugas sedang melakukan pemeriksaan gigi kepada penduduk kampung yang hadir.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 94.6 peratus orang dewasa dalam negara memerlukan rawatan gigi.

Demikian menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Mulut Orang Dewasa (NOHSA) 2020, yang menyifatkannya sebagai cabaran besar dalam kesihatan mulut dan kualiti hidup rakyat Malaysia.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, tinjauan yang sama turut mendapati hanya 34.3 peratus orang dewasa yang berumur 60 tahun dan ke atas mempunyai 20 batang gigi atau lebih.

“Selain itu, 1 daripada 20 orang dewasa berumur 35 tahun dan ke atas tidak mempunyai gigi; 17 daripada 20 orang dewasa Malaysia mempunyai gigi berlubang; sembilan daripada 10 orang dewasa Malaysia mempunyai periodontium tidak sihat; empat daripada 10 orang dewasa Malaysia mengalami impak sosial, disebabkan oleh keadaan mulut dalam tempoh tiga bulan yang lalu,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah kenyataan itu, tinjauan yang sama turut mendapati hanya seorang daripada empat orang dewasa yang mengetahui tentang teknik pemeriksaan mulut sendiri.

Katanya lagi, penemuan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 pula menunjukkan bahawa hanya 25.7 peratus rakyat telah menerima rawatan pergigian dalam tahun lalu.

Sehubungan itu KKM berkata, wujud keperluan untuk mempergiat usaha meningkatkan status kesihatan pergigian dalam negara.

Terdahulu KKM pada hari ini menganjurkan Persidangan Inisiatif Penyelidikan Kesihatan Mulut Nasional Ketiga 2024 yang diadakan di Putrajaya.

Persidangan tersebut berlangsung selama selama tiga hari bertemakan Precision Dentistry: Unveiling The Future Through Data Driven Insights.

Jelasnya, persidangan itu yang berfungsi sebagai platform penting untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan pergigian melalui penyelidikan dan pendekatan inovatif berdasarkan data.

“Persidangan NOHRI 2024 adalah hasil kerjasama antara Program Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia (PKP KKM) dan Persatuan Pakar Kesihatan Awam Pergigian Malaysia (MADPHS).

“MADPHS, yang terdiri daripada Pakar Kesihatan Awam Pergigian daripada pelbagai agensi, memainkan peranan penting dalam menangani isu-isu kesihatan pergigian dan memajukan bidang kepakaran dalam semua disiplin pergigian.

“Kerjasama ini menunjukkan komitmen bersama untuk meningkatkan penjagaan kesihatan pergigian dan penyelidikan di Malaysia,” jelas KKM.

KKM berkata, persidangan berkenaan sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap Pelan Tindakan Kesihatan Mulut Global (GOHAP) 2023-2030 yang memfokuskan enam objektif strategik iaitu tadbir urus kesihatan pergigian; promosi dan pencegahan penyakit; penjagaan kesihatan mulut; pembangunan tenaga kerja kesihatan; sistem pengurusan maklumat dan agenda penyelidikan.-MalaysiaGazette