Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pemasangan Sistem Pembrekan Antikunci (ABS) merupakan langkah penting meningkatkan keselamatan motosikal.

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berkata,  ABS berfungsi mencegah roda daripada terkunci ketika penunggang membrek secara kecemasan dan membantu mengekalkan kestabilan motosikal.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan bermula 1 Januari tahun depan, semua motosikal baharu dengan kapasiti enjin 150cc ke atas yang dijual di negara ini wajib dilengkapi ABS.

MIROS seterusnya berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha yang digariskan dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030.

“Selari dengan piawaian global untuk meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya yang berisiko tinggi seperti penunggang motosikal,” katanya menerusi kenyataan.

Berdasarkan kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pemasangan ABS pada motosikal dianggarkan mampu mengurangkan kadar kematian jalan raya sehingga 31 peratus.

“Laporan European Transport Safety Council juga menunjukkan kematian penunggang motosikal di Eropah berkurang secara purata sebanyak dua peratus setiap tahun dalam tempoh 10 tahun terakhir yang mana sebahagiannya disebabkan oleh pemasangan wajib ABS,” kata kenyataan itu.

Berdasarkan statistik kemalangan jalan raya yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 93 peratus motosikal yang terlibat dalam kemalangan maut dan cedera parah adalah melibatkan motosikal yang berkapasiti di bawah 250cc.

“Kajian membuktikan motosikal dilengkapi dengan sistem berkenaan mampu memberikan jarak brek lebih pendek serta prestasi yang lebih efisien berbanding model tanpa ABS.

“Keupayaan ini berperanan penting dalam mengurangkan risiko pelanggaran dan kematian yang melibatkan penunggang motosikal,” tambahnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Motosikal baharu kapasiti enjin 150cc perlu miliki ABS bermula 1 Januari depan – TPM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast