Dua lelaki tempatan antara 'dalang utama' sindiket ejen haram yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam satu operasi khas di Lembah Klang, pada 4 dan 5 September lalu.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menumpaskan satu sindiket ejen haram dalam satu operasi khas di sekitar Putrajaya, Puchong, Kelana Jaya dan Sungai Besi di sini pada 4 dan 5 September lalu.

Dalam operasi bermula pukul 3.22 petang itu, seramai tiga warga tempatan termasuk dua lelaki dan seorang wanita dipercayai dalang utama ditahan.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tangkapan itu dibuat hasil risikan yang dijalankan selama dua minggu.

“Sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya digerakkan ke lokasi sasaran.

“Turut ditahan seorang lelaki warga Vietnam, seorang lelaki warga India dipercayai ahli sindiket, dua wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga Sri Lanka.

“Kesemua lapan individu yang ditahan berusia di antara 22 hingga 42 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ruslin, semakan awal mendapati seorang lelaki warga Vietnam mempunyai pas masih sah laku manakala tiga wanita masing-masing dua warga Vietnam dan seorang warga Sri Lanka tinggal lebih masa.

“Manakala warganegara asing lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya.

Sebanyak 209 pasport pelbagai negara termasuk India (131), Sri Lanka (22) Bangladesh (18), Indonesia (10), Vietnam (10), Nepal (8), Pakistan (6) dan Myanmar (4) yang dirampas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi khas di Lembah Klang, pada 4 dan 5 September lalu.

Dalam operasi itu JIM merampas 209 pasport pelbagai negara termasuk India (131), Sri Lanka (22) Bangladesh (18), Indonesia (10), Vietnam (10), Nepal (8), Pakistan (6) dan Myanmar (4).

“Pasukan operasi turut menyita sebuah kenderaan Proton X70, sebuah kenderaan Proton Exora, sebuah kenderaan Nissan Almera dan sebuah kenderaan Audi,” katanya.

Modus operandi sindiket adalah menyasarkan warga asing  sekitar Lembah Klang dengan menawarkan perkhidmatan untuk berurusan dengan JIM.

Ia berkaitan dengan pasport dan pas seperti Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) dan Visa.

“Kadar bayaran yang dikenakan antara RM500 hingga RM1,100 bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

Kesemua warga asing terbabit ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil di sini untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.6(3), Sek.15(4) dan Sek.56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.

Ketiga-tiga warga tempatan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

“Tindakan tegas boleh diambil ke atas mana-mana pihak didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast