Wan Rosdy mengadakan lawatan ke Taman Industri Halal Gambang atau Gambang Halal Park di Kuantan hari ini

KUANTAN – Taman Industri Halal Gambang di sini sudah siap pembinaannya dan kini pada fasa untuk dibangunkan dan bersedia menerima kemasukan pelabur serta pengusaha daripada industri terpilih.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri dan Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bekerjasama dalam menyediakan infrastruktur yang mesra pelabur serta menawarkan pelbagai inisiatif termasuk pengecualian cukai selama 10 tahun.

”Berdasarkan taklimat yang diberi oleh pihak ECERDC dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK), saya dimaklumkan taman industri ini telah siap dibangunkan cuma menunggu kemasukan pengusaha dan juga pelabur.

”Saya telah meminta ECERDC dan PSK berbincang untuk menetapkan tarikh yang sesuai agar pengusaha dan pelabur dapat beroperasi di taman industri ini dalam tempoh setahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, Kuantan Port Konsertium juga sedia bekerjasama untuk menyediakan pelabuhan logistik halal bagi memudahkan produk yang dihasilkan dapat dieksport ke luar negara.

Wan Rosdy juga mengambil serius agar pembangunan Gambang Halal Park dapat disegerakan dan ditambahbaik bagi menarik lebih ramai pelabur dan pengusaha.

”Pelaksanaan pembangunan taman industri halal ini akan diletakkan secara terus di bawah pemantauan saya. Saya amat berharap agar Gambang Halal Park ini dapat direalisasikan sebagai pemangkin untuk menarik lebih ramai pelabur serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi di Pahang yang turut memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini,” tambahnya.

Terdahulu Wan Rosdy hari ini mengadakan lawatan ke Taman Industri Halal Gambang atau Gambang Halal Park di sini bagi melihat sendiri status pelaksanaan projek berimpak tinggi itu.

Taman industri yang berkeluasan 38 hektar memberi fokus kepada industri pemprosesan makanan halal, produk asas tani, produk berasaskan daging, farmaseutikal, nutraseutikal atau herba, logistik dan rantaian bekalan serta pertanian berteknologi tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast