Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan tidak faham mengapa Kerajaan Perpaduan masih mengekalkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia pada RM3.16 seliter sedangkan penetapan harga semasa antarabangsa bagi diesel bersamaan RM2.62 seliter.

Secara sinis, Presiden Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai “berterima kasih” kepada kerajaan kerana dalam tiga minggu kebelakangan ini, harga runcit diesel telah dikurangkan sebanyak 0.02 sen setiap minggu.

Tetapi jika dibandingkan dengan harga diesel di peringkat antarabangsa, perbezaan harga yang besar dapat dilihat.

Oleh itu, beliau berharap kerajaan dapat menjelaskan perbezaan harga ini.

Mulai Ogos tahun ini, katanya, harga diesel di peringkat antarabangsa mengalami turun naik, dan berdasarkan purata nilai tukaran ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu 1 dolar bersamaan RM4.33, harga diesel antarabangsa telah turun dari AS$99.23 setong (bersamaan RM429.67) kepada AS$85.79 setong (bersamaan RM 371.47).

“Pada bulan Ogos, tukaran ringgit kepada dolar adalah 1 dolar bersamaan RM4.56, dan pada akhir Ogos hingga awal September, 1 dolar bersamaan RM4.33. Ini bermakna harga diesel antarabangsa turun dari RM452.49 setong (berdasarkan tukaran RM4.56) kepada RM371.47 (berdasarkan tukaran RM4.33), penurunan kira-kira 18%.

“Namun, mengapa harga runcit diesel di negara kita masih RM3.16 seliter? Perbezaan harga tersebut adalah kira-kira 54 sen,” hujahnya.

Dominic berkata, dahulu ketika kerajaan Barisan Nasional hanya melaksanakan cukai GST sebanyak 6%, pemimpin Pakatan Harapan turun ke jalanan untuk membantah tetapi kini harga runcit diesel lebih tinggi sebanyak 54 sen berbanding harga antarabangsa, seolah-olah rakyat perlu menanggung perbezaan 54 sen bagi setiap liter diesel yang diisi.

Beliau menambah, walaupun keuntungan bersih Petronas bagi separuh pertama tahun kewangan 2024 menurun sebanyak 19% berbanding tahun sebelumnya, syarikat itu masih mencatatkan pendapatan sebanyak RM 32.4 bilion.

Lantaran itu, beliau mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sama ada beliau masih ingat akan kenyataannya dahulu yang menyatakan beliau akan meminta Petronas memberikan dividen khas sebanyak RM1 bilion untuk mengurangkan beban rakyat kerana ia adalah hak rakyat.

“Petronas telah membayar dividen sebanyak RM12 bilion kepada kerajaan dalam separuh pertama tahun ini, manakala cukai yang dibayar, termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST), adalah sebanyak RM10.9 billion.

“Saya juga berharap Kementerian Kewangan dapat menjelaskan dengan lebih lanjut, di manakah dividen yang diperoleh daripada syarikat milik kerajaan ini digunakan” katanya. – MalaysiaGazette