Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Golongan pendidik termasuk guru di institusi pendidikan tidak terkecuali daripada mematuhi undang-undang termasuk tidak menghasilkan kandungan di platform media sosial yang melibatkan kanak-kanak.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil akan berhubung dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan Akta Kanak-Kanak 2001 dipatuhi tenaga pengajarnya.

“Saya mohon sampaikan peringatan kepada mereka yang menghasilkan kandungan termasuklah guru, sila jangan papar, pamer, rakam dan siarkan wajah kanak-kanak. Itu merupakan satu pelanggaran undang-undang di bawah Akta Kanak-kanak.

“Saya insya-Allah akan berhubung dengan Menteri Pendidikan untuk pastikan isu ini difahami oleh guru-guru juga,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Terdahulu Fahmimerasmikan penutupan Persidangan Peruncangan Antarabangsa berhubung Ancaman Dalam Talian 2024.

Terdahulu, media melaporkan polis menahan seorang pemandu bas tular kerana memuat naik rakaman video penumpang bas murid sekolah rendah dan melabel mereka sebagai crush atau ‘kesayangan’ di Kluang, Johor.

Polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuatnaik hantaran berkenaan di akaun media sosialnya. – MalaysiaGazette