Keadaan sebuah lori 10 tan yang hilang kawalan hingga melanggar penghadang jalan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dekat Sentul, menyebabkan sebuah kereta rosak.

KUALA LUMPUR – Hilang kawalan antara punca sebuah lori 10 tan tanpa muatan terbabas dan melanggar penghadang jalan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di Sentul, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL), Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, dalam kejadian jam 1.40 tengahari itu, lori jenis Hino Lori Rigid Dumper/Tipper berwarna putih dalam perjalanan dari arah Jalan Tun Razak menghala ke Gombak.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, batu penghadang jalan jatuh dari jejambat lebuh raya terbabit, kemudian menghempap sebuah kereta jenis Perodua Kenari yang diparkir di bawah laluan tersebut.

“JSTKL mengesahkan kejadian kemalangan melibatkan sebuah lori terbabas dan melanggar pengadang jejambat sehingga batu pengadang terjatuh dan menghempap motokar di bawah jejambat tersebut.

“Siasatan awal mendapati kenderaan berat tersebut dikatakan hilang kawalan dan terbabas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Batu penghadang jalan yang jatuh dari jejambat Lebuh di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dekat Sentul selepas dilanggar sebuah lori 10 tan.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan sebuah lori 10 tan melanggar tembok penghadang jalan di Lebuhraya DUKE dekat Sentul.

Menurut Mohd Zamzuri, ketika kejadian, tiada pemandu yang berada di dalam kereta dihempap batu penghadang jalan itu.

“Kenderaan motokar yang terlibat sedang diparkir di bawah jejambat tanpa pemandu.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Siasatan diteruskan dan diklasifikasi di bawah Seksyen 43(1) APJ 1987,” katanya.

Selain itu, katanya, pemandu lori terbabit merupakan warga tempatan yang berusia 40 tahun dan mempunyai lesen memandu kenderaan sah.

“Sama ada pemandu terbabas disebabkan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah masih dalam siasatan pihak JSPTKL.

“Bagaimanapun pemandu lori terbabit sudah dibawa untuk saringan air kencing,” katanya. – MalaysiaGazette

Tembok konkrit hempap kereta selepas dirempuh lori