Aung Kaung Mann. Foto FB KDN FC.

KUALA LUMPUR – Penyerang antarabangsa Myammar, Aung Kaung Mann menjadi pilihan pasukan Kelantan Darul Naim FC pada perpindahan kedua Liga Malaysia musim 2024/25.

Aung, 26, sebelum ini mencuri perhatian di Thailand apabila sebahagian besar karier beliau adalah bersama kelab negara berkenaan.

Dia pernah beraksi di Liga Malaysia ketika menyertai Pahang pada 2021 dan mengganggotai skuad Divisi 1 Thailand, Chonburi FC musim lalu.

Penyerang itu turut merangkul dua pingat kejuaraan iaitu Thai League 3 musim 2020 dan Thai League 2 musim 2023/24.

Untuk peringkat antarabangsa, Aung diserap masuk bersama skuad Myammar sejak 2018 dan membantu negaranya muncul naib juara dan tempat ketiga Sukan SEA.

Tahun ini, bersama skuad kebangsaan, beliau diturunkan selama 65 minit pada aksi kelayakan Piala Dunia ketika tewas 1-4 kepada Korea Utara, dua bulan lalu.

Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, pemain itu adalah penyerang tulen yang mempunyai rekod baik di peringkat kelab dan antarabangsa.

Katanya, pengalaman bekas pemain Ayeyawady FC dan Nakhonratchasima Mazda FC itu menjadi kunci untuk menajamkan jentera serangan skuad Kijang Emas bagi baki saingan liga musim 2024/25.   – MalaysiaGazette