KUALA SELANGOR – Seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes penderaan ke atas anak perempuan kekasihnya ditahan reman selama lima hari, bermula hari ini hingga 10 September ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Siti Hajar Ali di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Perkara itu disahkan pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin.
“Perintah reman ke atas suspek berusia 26 tahun yang ditahan di Sik, Kedah kira-kira jam 4.30 petang semalam bagi membantu siasatan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Selain itu katanya, ujian air kencing ke atas lelaki itu mendapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita berusia 32 tahun ditahan kerana disyaki mendera anak perempuannya, di sini, pada Rabu.
Penangkapan itu susulan laporan polis seorang lelaki yang bekerja di kilang ikan di Sungai Besar memaklumkan mengetahui kejadian selepas diberitahu isterinya yang menerima mesej WhatsApp ibu pengadu.
Ibu pengadu menghantar gambar anak perempuan pengadu berusia lima tahun yang dijaga oleh bekas isteri berkemungkinan didera.
Selain itu, suspek dan bekas suaminya bercerai pada 2020 dan mangsa berusia lima tahun berada di bawah jagaannya.
Wanita terbabit kini direman selama lima hari bermula Khamis bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette