KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi mempersoalkan operator platform media sosial, TikTok yang membenarkan pemilik akaunnya, seorang pemandu bas menghasilkan kandungan termasuk rakaman video kanak-kanak dalam tempoh begitu lama.
Fahmi Fadzil berkata, lebih membimbangkan, kandungan tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang menonton video kanak-kanak bawah umur dikhuatiri boleh mengundang aktiviti jenayah lain.
“Kalau kita lihat kandungan yang telah dimuat naik dalam TikTok akaun tersebut yang agak merisaukan, bagaimana TikTok boleh membenarkan akaun seperti ini beroperasi dengan begitu lama.
“Saya bertambah risau apabila saya meneliti komen-komen dalam kandungan tersebut yang juga membayangkan masalah membolehkan beberapa jenayah lain untuk sama ada dilakukan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan penutupan Persidangan Perundangan Antarabangsa berhubung Ancaman Dalam Talian 2024.
Sebelum ini, media melaporkan, polis menahan seorang pemandu bas tular kerana memuat naik rakaman video penumpang bas murid sekolah rendah dan melabel mereka sebagai crush atau ‘kesayangan’.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dilaporkan berkata, penahanan pemandu bas berusia 24 tahun itu dibuat sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kluang, kira-kira 2.57 pagi tadi di Simpang Renggam, Johor Bahru.
Polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuatnaik hantaran berkenaan di akaun media sosialnya.
Selain itu, Fahmi memberi jaminan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bekerjasama dengan Bukit Aman untuk mengenal pasti individu lain yang terlibat dengan penyebaran video kanak-kanak di media sosial.
“MCMC akan bekerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita & Kanak-Kanak (D11) selaku badan penguatkuasaan yang melakukan siasatan.
“Kita memohon supaya pihak MCMC mengenal pasti mana-mana pihak lain yang mungkin sama ada dipercayai terlibat ataupun disyaki melakukan sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette