KUALA SELANGOR – Kerana tersalah masuk barisan kelas semasa latihan sukan, seorang murid darjah dua di sebuah sekolah dekat Jeram, di sini, mengalami kecederaan selepas ditampar seorang guru lelaki.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, ketika kejadian, mangsa baru selesai latihan rumah sukan di padang sekolah dan diminta beratur mengikut kelas sebelum pulang ke rumah.

“Semasa sedang beratur, mangsa telah tersalah kelas. Kemudian mangsa ingin masuk ke dalam barisan kelasnya semula.

“Ketika sedang berjalan masuk ke dalam barisan kelas, seorang guru telah menampar mangsa dengan menggunakan tangan kanan dan telah tampar secara (backhand) sebanyak satu kali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Ambia, kecederaan itu disedari ibu mangsa selepas mendapati kesan bengkak pada pipi kanan anak lelakinya semasa menjemputnya dari sekolah, kira-kira jam 5.50 petang semalam.

“Kanak-kanak itu mengadu pipinya sakit. Apabila pengadu tanya kenapa, dia memberitahu telah ditampar cikgu semasa berada di sekolah kerana anak pengadu tersalah masuk barisan,” katanya.

Beliau berkata, ibu mangsa kemudian membawa anaknya ke sebuah klinik swasta dekat Jeram dan doktor memberitahu pipi mangsa sakit disebabkan kesan pukul.

“Mangsa telah menerima rawatan di Hospital Tanjung Karang dan doktor memberi ulasan terdapat kecederaan tisu lembut,” katanya.

Mohd Ambia berkata, ibu mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jeram kerana tidak berpuas hati dengan tindakan guru terbabit.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK),” katanya. – MalaysiaGazette