Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin. Foto AIZAT ZAINAL, 28 OGOS 2024

KUALA SELANGOR – Seorang lelaki dipercayai kekasih kepada wanita yang terlibat dalam kes penderaan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditahan polis, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, suspek berusia 26 tahun ditahan di sebuah rumah dekat Sik, Kedah, kira-kira jam 4.30 petang.

“Tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik dan Kuala Selangor.

“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau dadah,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita berusia 32 tahun ditahan kerana disyaki mendera anak perempuannya di sini, pada Rabu.

Penangkapan itu dibuat susulan laporan polis seorang lelaki yang bekerja di kilang ikan di Sungai Besar memaklumkan mengetahui kejadian selepas diberitahu isterinya yang menerima mesej WhatsApp ibu pengadu.

Ibunya menghantar gambar anak perempuan pengadu berusia lima tahun yang dijaga oleh bekas isteri yang berkemungkinan didera.

Menurut Mohd Ambia, ibu kepada kanak-kanak itu kemudian dibawa ke IPD Kuala Selangor dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Selangor, pagi ini,” katanya.

Selain itu, suspek dan bekas suaminya bercerai pada 2020 dan mangsa berusia lima tahun berada di bawah jagaannya.

Wanita terbabit kini direman selama lima hari bermula Khamis bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette