KUALA LUMPUR – Masih terlalu awal untuk menentukan bentuk tindakan yang bakal menanti mana-mana pihak sekiranya didapati melanggar kod tata laku dalam mengendalikan akaun platform media sosial ketika ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia kerana kerajaan sedang membangunkan kod tata laku itu dengan siri perbincangan yang telah pun dimulakan sejak 3 September lalu.
“Kita sedang membina kod tata laku bersama dengan pihak platform media sosial di mana pusingan pertama telah dimulakan pada 3 September ini.
“Kita jangka perbincangan ini akan berterusan dan menjelang hujung Oktober atau November, kod tata laku ini selesai dibangunkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini, Fahmi dilaporkan berkata, mana-mana platform yang tidak mempunyai lesen selepas 1 Januari 2025 boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 126 akta berkenaan berdasarkan garis panduan yang dibina bersama dan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut Fahmi, kerajaan tidak menghalang mana-mana operasi platform media sosial beroperasi asalkan mereka mematuhi kod tata laku dan undang-undang dalam memastikan rakyat dilindungi daripada aktiviti jenayah siber.
“Kod tata laku akan memastikan mana-mana platform yang ingin beroperasi di Malaysia faham dengan kerangka kawal selia dan undang-undang sedia ada.
“Mereka boleh beroperasi dalam konteks selagi mana mereka tidak melanggar undang-undang kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette