KUANTAN – Pahang Skills Development Centre (Pahang Skills) bakal menawarkan kursus pengelenggaraan rel kereta api pertama di negara bermula Januari 2026.
Kursus yang mendapat kerjasama Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) itu membabitkan tempoh latihan selama setahun dengan jaminan pekerjaan dengan pihak East Coast Rail Link (ECRL).
Menurut Timbalan Pengarah Eksekutif 1 (Pendidikan Dan Teknikal) Pahang Skills, Nasrul Rahman Abdullah, program terbabit melibatkan pembinaan dua trek berkembar di kampus Pahang Skills bagi tujuan pembelajaran.
“Landasan sepanjang 200 meter setiap satu ini akan mula dibina pada Oktober 2024 dan dijangka siap pada tahun 2025 dan pengambilan pertama seramai 50 orang akan bermula pada Januari 2026.
“Pihak CCC akan membekalkan peralatan, manakala pihak MRL akan membina landasan ini di Pahang Skills nanti. Mengikut spesifikasi ECRL, kursus ini merupakan yang pertama dalam negara,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pahang Skills, Mahadir Abdul Raffar berkata, kursus itu akan dibuka kepada calon-calon pelajar daripada negeri yang terbabit dengan jajaran ECRL.
“Selain anak negeri Pahang sendiri, kita juga membuka kepada pelajar di negeri lain yang terlibat dengan jajaran ECRL ini iaitu antaranya Kelantan, Terengganu dan Selangor.
“Pengambilan pertama mungkin terhad iaitu kita jangka seramai 50 orang, tetapi untuk pada masa akan datang kita akan tambah lagi bilangan pelatih-pelatih yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata, kos pembinaan rel berkembar terk latihan ECRL terbabit dianggarkan kira-kira RM2.5juta dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Tambahnya, Pahang Skills menggarkan kos bagi kursus terbabit sekitar RM10,000 hingga RM15,000 dan bantuan pelajaran boleh dipohon menerusi Tabung Pendidikan Kemahiran dan Yayasan Pahang bagi anak-anak Pahang. – MalaysiaGazette