Hampir separuh daripada 255 pengayuh beca di Melaka didapati menyewakan lesen mereka kepada pihak ketiga atau 'ali baba' sehingga 'membunuh' nasib pengayuh beca veteran di negeri ini.

MELAKA – Hampir separuh daripada 255 pengayuh beca di negeri ini menyewakan lesen mereka kepada pihak ketiga atau ‘ali baba’ sehingga ‘membunuh’ nasib pengayuh beca veteran.

Keadaan itu memaksa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menguatkuasakan Undang-Undang Kecil (UKK) MBMB Beca 2024 yang diluluskan Julai lalu antara lain untuk membela nasib pengayuh beca tulen di Melaka.

Datuk Bandar Melaka, Datuk Shadan Othman berkata, kewujudan pengayuh beca ‘ali baba’ secara sambilan itu pada setiap hujung minggu secara tidak langsung menjejaskan pendapatan pengayuh beca tulen di Melaka.

“Daripada 255 lesen pengayuh beca yang ada sekarang ini, hampir separuh mengambil kesempatan seperti sub atau ‘ali babakan’ lesen mereka kepada orang lain.

“Sebab itu, kita kuatkuasakan garis panduan UUK Beca MBMB 2024 ini bermula Januari depan untuk pastikan hanya ada pengayuh beca tulen dengan beberapa syarat penambahbaikan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Pemakluman Garis Panduan Pengayuh Beca Negeri Melaka di Auditorium MBMB di sini hari ini.

Shadan pada Sidang Media Pemakluman Garis Panduan Pengayuh Beca Negeri Melaka di Auditorium MBMB, Melaka hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara penambahbaikan lain yang terkandung dalam garis panduan (UKK) MBMB Beca 2024 adalah memastikan ‘duta kecil’ pelancongan Melaka itu memahami sejarah asas Melaka, kawalan muzik yang dimainkan dan pakaian seragam.

“Ini bukanlah untuk menganiaya mereka sebaliknya memastikan kelancaran operasi dan keharmonian pengunjung di negeri pelancongan ini,” tambahnya.

Shadan bagaimanapun menafikan dakwaan pengayuh beca kononnya garis panduan itu akan mengehadkan operasi mereka kepada beberapa kawasan mengikut kumpulan dan hanya membenarkan umur di bawah 60 tahun untuk membawa beca.

“Sebenarnya tujuan kita menetapkan tujuh pusat hentian beca semasa pelaksanaan Car Free Zone pada Jumaat, Sabtu dan Ahad adalah untuk memudahkan kita mengenal pasti lokasi pusat mereka.

“Mereka masih bebas mengambil dan menurunkan penumpang di mana-mana antara laluan itu termasuk umur ditetapkan adalah antara 18 hingga 70 tahun

“Namun umur lebih dari itu, mereka perlu mengemukakan borang saringan kesihatan yang disahkan oleh doktor,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast