Kementerian Pengajian Tinggi

KUALA LUMPUR – Seramai 71,290 calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf berjaya ditawarkan tempat ke universiti awam.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menerima sebanyak 105,424 permohonan yang layak bagi lepasan STPM dan setaraf untuk melanjutkan pengajian menerusi UPUOnline.

Secara keseluruhannya, sebanyak 1,114 program pengajian sarjana muda telah ditawarkan bagi sesi kali ini.

“Kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.

“Kepada calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian, kementerian kini telah membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline®️ dalam tempoh 10 hari, bermula daripada 6 September 2024, jam 12.00 tengahari sehingga 15 September 2024, jam 5 petang,” katanya.

KPT turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya dan semoga peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya. – MalaysiaGazette