Duta Uzbekistan ke Malaysia, Dr Karomidin Gadoev dan Presiden Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN, Datuk Sohaimi Shahadan (kanan) menyerahkan surat jemputan kepada wakil MalaysiaGazette, Radzuan Hassan pada program Travel Together Uzbekistan di Ampang, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 5 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Uzbekistan kini memperkukuhkan lagi hubungan dua halanya menerusi kerjasama dalam sektor pelancongan.

Ia sejajar dengan pertumbuhan yang ketara dalam pelbagai sektor susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu pada Mei lalu.

Menurut Presiden Perikatan Perniagaan Malaysia-Uzbekistan (MUBA), Datuk Seri King Lim Chin Fui, ini merupakan peluang yang perlu dimanfaat untuk memperkenalkan Uzbekistan sebagai Mutiara Timur.

Duta Uzbekistan ke Malaysia, Dr Karomidin Gadoev (tengah), Pengerusi Malaysia-Uzbekistan Business Chamber (MUBC), Datuk Seri King Lim Chin Fui (kiri) dan Presiden Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN, Datuk Sohaimi Shahadan pada program Travel Together Uzbekistan’ di Ampang, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 5 SEPTEMBER 2024

Usaha tersebut itu telah mendapat sokongan daripada Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) yang mempromosikan negara berkenaan sebagai destinasi pelancongan utama dan umrah dalam masa terdekat.

“Ini bukan sahaja untuk pelancongan tetapi juga perjalanan rohani dan warisan Islam yang kaya di Uzbekistan. Ia boleh menjadikannya sebagai sebuah lokasi tambahan sempurna kepada jemaah umrah dan haji untuk meneroka khazanah itu.

“Dengan kepakaran dan matlamat bersama, saya yakin kita boleh mencipta pengalaman yang tidak mungkin dilupakan bagi rakyat Malaysia yang melancong ke sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Pelancaran Travel Together to Uzbekistan di Ampang semalam.

Hadir sama pada majlis itu Presiden PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd Sham, Duta Uzbekistan ke Malaysia, Dr Karomidin Gadoev dan Presiden Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN, Datuk Sohaimi Shahadan.

Dalam perkembangan sama, Chin Fui berkata, inisiatif itu melibatkan dua agensi pelancongan iaitu Travel Together (Uzbekistan) dan Nautica Travel & Tours Sdn Bhd (Malaysia).

Katanyanya, kerjasama tersebut mampu untuk meningkatkan aliran pelancong sambil memperkenalkan Malaysia kepada pasaran Asia Tengah.

Tambahnya, dengan warisan sejarah yang kaya, kepelbagaian budaya, keindahan alam semula jadi yang unik dan keramahan rakyat, Uzbekistan boleh menawarkan pengalaman pelancongan yang luar biasa.

“Rakyat Malaysia juga boleh melawat negara itu tanpa visa untuk tempoh 30 hari bagi memberi peluang kepada kita meneroka keajaiban seni bina, kepelbagaian rizab semula jadi dan perkembangan dinamik yang menarik perhatian dunia,” ujarnya.

Sementara itu, Dr Karomidin berkata, sektor pelancongan dianggap sebagai salah satu tonggak kerjasama antara Uzbekistan dan Malaysia.

Duta Uzbekistan ke Malaysia, Dr Karomidin Gadoev berucap pada program ‘Travel Together Uzbekistan’ di Ampang, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 5 SEPTEMBER 2024

Katanya, lawatan Anwar ke Uzbekistan pada 19 Mei lalu antara lain telah membincangkan topik mengenai kerjasama pelancongan yang wajar dilakukan.

“Sebagai makluman, kerjasama kami dalam bidang ini telah berkembang dengan baik pada 2024 iaitu hampir 4,000 pelancong ke Uzbekistan.

“Selain itu, Uzbekistan menduduki tempat pertama dalam carta negara paling selamat di dunia iaitu Safety Perceptions Index 2023 yang merangkumi 121 negara.

“Keselamatan negara adalah faktor yang sangat penting untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke sini,” katanya. – MalaysiaGazette