Shahrulanuar Mushhadat Abdullah Sani

BATU PAHAT – Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu ditemukan sudah meninggal dunia dalam sebuah kebun kelapa sawit di Yong Peng dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushhadat Abdullah Sani berkata, mayat lelaki berusia 76 tahun itu ditemui terbaring di kebun sawit Taman Sri pukul 12.35 tengah hari.

“Mayat ditemui seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun yang berada dalam kebun sawit berkenaan sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

“Siasatan awal polis mendapati mayat yang ditemui adalah Kasnon Sabari, 76, berdasarkan dokumen-dokumen diri, pakaian, barangan peribadi dan sebuah motosikal milik mangsa yang turut dijumpai di tempat kejadian serta pengecaman oleh keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, semakan lanjut mendapati anak saudara mangsa telah membuat laporan pada 30 Ogos lalu di Balai Polis Rengit.

Menurut beliau, mangsa dikatakan keluar dari rumah di Kampung Sungai Kluang, Rengit pada 28 Ogos dan masih tidak pulang sehingga laporan polis tersebut dibuat.

Menurut Shahrulanuar lagi, mangsa dipercayai telah meninggal dunia kira-kira empat hari dan tidak sebarang tanda-tanda meragukan atau kesan perlakuan jenayah pada mana-mana bahagian badan mangsa.

Ujarnya, hasil bedah siasat yang dijalankan Pakar Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini juga tidak dapat mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan fizikal mayat yang telah mereput.

Oleh itu, siasatan polis diklasifikasi mati mengejut (SDR).

Polis juga memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian ini  tampil membantu siasatan  atau menyalurkan maklumat berkenaan di mana-mana balai polis  atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor 07-2212999 atau IPD Batu Pahat 07-4343999,” katanya.- MalaysiaGazette