Mohamed Khaled ditemui dalam Minggu Bersama Pencarum - Jelajah Selatan 2024 di Kem Mahkota, Kluang hari ini.

KLUANG – Kementerian Pertahanan (Mindef) akan berpandukan siasatan dalaman dijalankan Kementerian Luar susulan kebocoran maklumat nota diplomatik daripada Kementerian Luar China yang dialamatkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing 18 Februari lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya memerlukan kesahihan berhubung nota diplomatik berkenaan kerana khuatir akan memberikan reaksi mengenai satu perkara yang sebenarnya tidak wujud.

“Kita tunggu daripada (Kementerian Luar) kalau betullah sebab kita perlu kesahihan, saya percaya kita di sini nanti berpandu pada Kementerian Luar, jadi setakat itu sahaja.

“Saya boleh beritahu (tapi) kalau tidak nanti kita memberi reaksi kepada benda yang tidak ada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Minggu Bersama Pencarum-Jelajah Selatan 2024 di Kem Mahkota, di sini, hari ini.

Terdahulu Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan sedang menjalankan siasatan dalaman dan akan membuat laporan polis berhubung kebocoran nota diplomatik berkenaan.

Menurut kenyataan itu, nota berkenaan diterbitkan dalam satu artikel oleh portal media Filipina pada 29 Ogos lalu.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, ASEAN adalah pengimbang dan penyumbang kepada keamanan kestabilan dalam rantau ini.

“Atas sebab itulah kita kalau kita boleh faham ucapan-ucapan oleh pemimpin bagaimana kita nak pastikan soal ‘centrality Asean’.

“Maknanya pemusatan Asean jangan diganggu, jangan ditarik serta jangan terpengaruh dengan mana-mana pihak kerana Asean adalah ASEAN,” ujarnya.- MalaysiaGazette