Sebuah lori terbabas dan melanggar sebuah kereta sebelum merempuh kedai makan di Kilometer 97, Jalan Batu Pahat-Mersing Kluang, semalam

KLUANG – Seorang pekerja ladang cedera selepas sebuah lori terbabas dan melanggar sebuah kereta sebelum merempuh kedai makan di Kilometer 97, Jalan Batu Pahat-Mersing dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, dalam kejadian pada pukul 4.20 petang itu melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah lori, kereta dan motosikal.

“Hasil siasatan awal mendapati lori berkenaan dari arah Mersing menghala ke Kluang, sampai di tempai kejadian cuba mengelak sebuah kereta yang berhenti di laluannya.

“Pemandu lori berkenaan hilang hilang kawalan lalu melanggar sebuah kereta Proton Waja yang parkir di kedai makan di tepi jalan tersebut.

“Selepas itu lori berkenaan melanggar kedai makan tersebut sehingga menyebabkannya runtuh,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Katanya, runtuhan bangunan kedai makan itu menimpa motosikal Yamaha 135 LC diparkir di situ dan turut menyebabkan penunggangnya cedera terkena runtuhan.

Penunggang motosikal berkenaan, Muhammad Farid Ahmad, 30, yang beralamat di Bandar Pemaisuri, Terengganu cedera di tangan kiri dan kaki kiri.

Sementara pemandu lori berkenaan, Sani Sarmin, 45, dan pemilik kedai berkenaan, Basharuddin Bidi, 55, yang kedua-duanya beralamat di Kluang tidak cedera.

Beliau memberitahu, tindakan saman diambil terhadap pemandu lori berkenaan dan saringan ujian air kencing mendapatinya negatif dadah.

Tambahnya, kes disiasat bawah kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).- MalaysiaGazette