Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh

KLUANG – Pemandu bas yang memuat naik rakaman video murid perempuan sekolah rendah  dalam aplikasi TikTok direman lima hari.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kebenaran reman ke atas suspek berusia 24 tahun itu diperoleh hari ini.

Beliau memberitahu, perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Batu Pahat, Suhaila Safi’uddin.

“Suspek yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK) dibenarkan direman sehingga 10 September ini,” katanya ketika dihubungi.

Awal pagi ini, lelaki terbabit ditahan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada pukul 2.57 pagi bagi menjalankan siasatan berhubung penularan rakaman video memaparkan kanak-kanak dalam sebuah bas.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan dan mengalu-alukan kerjasama  ibu bapa kanak-kanak yang terdapat dalam rakaman video supaya tampil bagi membantu siasatan.

Sebelum itu, tular beberapa video yang memaparkan seorang pemandu bas yang mempunyai lebih 600,000 pengikut di TikTok merakam beberapa murid sekolah perempuan yang dianggap pemandu bas tersebut sebagai crush atau seseorang yang diminati atau disukai secara romantik.

Kesemua video yang dirakam sambil memandu itu memaparkan wajah murid-murid tersebut dengan jelas.

Video-video itu setakat ini sudah mempunyai sebanyak 10.5 juta tanda suka.- MalaysiaGazette