Tertuduh, Lee Han Wee, 45, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM70,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini kerana memandu dalam keadaan mabuk, tiga tahun lalu.

MELAKA – Seorang penyelia syarikat hiasan dalaman dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM70,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini kerana memandu dalam keadaan mabuk, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Lee Han Wee, 45, dijatuhi hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung selama 10 tahun bermula selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kemalangan dan kematian seorang lelaki, Abdul Rahim Mohamad, 53 di di Jalan Limbongan, Klebang pada pukul 12.45 pagi, 29 November 2021.

Sabit kesalahan boleh dipenjara 15 tahun, denda RM100,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama 10 tahun mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 Pindaan 2020

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Alhirzan Mohd Akhir memohon hukuman penjara ke atas anak guamnya ditangguhkan kerana dia mengalami kecederaan tulang pinggul akibat kemalangan selain memerlukan rawatan lanjut di hospital pakar.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sherina Farhana Nor Sa’ari bagaimanapun membantah permohonan itu.

Hujahnya, ini kerana tertuduh mengambil minuman keras sebelum memandu sehingga menyebabkan kemalangan selain tertuduh juga boleh menerima rawatan ketika berada di penjara.

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan hukuman penjara dengan syarat pihak pendakwaan perlu menghantar notis rayuan secepat mungkin dengan jumlah jaminan dinaikkan kepada RM20,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diarahkan membayar denda RM70,000 terlebih dahulu, dan penjara 12 bulan sekiranya gagal. – MalaysiaGazette