Pihak JAS Johor menemui pencemaran bahan kimia baharu dikesan di Sungai Plentong, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengesan pencemaran bahan kimia terbaharu di Kawasan Industri Desa Tropika, Johor Jaya, di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, pihak JAS dan bomba tiba di kawasan itu untuk pemeriksaan pukul 10.50 pagi selepas menerima aduan awam.

“Pagi ini JAS Johor sekali lagi menerima aduan mengenai pencemaran bau kimia di kawasan tersebut yang berhampiran Sungai Plentong.

”Mereka mendapati bau tersebut serupa dengan insiden yang berlaku di Kampung Melayu Pandan pada 3 September lalu  dan Taman Daya pada 5 September lalu.

“Di permukaan Sungai Plentong, kelihatan tumpahan minyak dan pihak berkuasa telah mengambil sampel,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kira-kira pukul 12 tengah hari, bau kimia itu sekali lagi dikesan di kawasan Plentong dan pihak berkuasa meneruskan pencarian di sepanjang Sungai berkenaan.

Menurutnya, pada pukul 3.15 petang, mereka menemui bahan kimia yang mencurigakan dibuang di tebing anak sungai di Kawasan Industri Taman Desa Tropika.

“Pihak berkuasa segera mengambil tindakan yang diperlukan dan menghantar sampel untuk ujian. Mereka juga menggunakan ‘absorbent pad’ untuk membersihkan sebahagian tumpahan minyak,” ujarnya.

Kelmarin, media melaporkan beberapa penduduk di sekitar Taman Daya, Taman Istimewa dan Taman Mount Austin yang mengadu pening kepala dan loya setelah terhidu bau kimia di kawasan rumah masing-masing.

Bau kimia juga dikesan begitu kuat dan pekat di kawasan Kampung Melayu Pandan menyebabkan sebuah tadika dan sekolah agama di kawasan berhampiran ditutup.

Mengenai perkembangan pencemaran di tiga taman itu dan sekitar Kampung Melayu Pandan, beliau berkata, siasatan dijalankan JAS Johor menemui beberapa objek yang tidak dikenal pasti dibuang di tepi sungai dalam bentuk bungkusan di anak Sungai Pandan berhampiran Taman Daya, kelmarin.

Tian Soon berkata, bungkusan tersebut ditemui kira-kira pukul 10 pagi ketika menjalankan pemeriksaan di kawasan sekitar, terutamanya di sepanjang tebing sungai.

“JAS Johor telah mengambil sampel dan menghantarnya ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

“Bau yang sama seperti yang terjadi di Kampung Melayu Pandan tiga hari lepas masih dapat dihidu di kawasan tersebut.

“JAS telah memasang garisan keselamatan di lokasi dan sedang mengukur kualiti udara di situ,” katanya.- MalaysiaGazette