Penganggur, Afendi Muhammad Agus,

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan membunuh ibu dan bapanya di Kampung Sungai Penchala pada tahun lalu.

Tertuduh, Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali, 43, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim, K Muniandy meskipun disoal beberapa kali.

Ingin mendapatkan kepastian terhadap pengakuan tersebut, hakim kemudian meminta peguam yang mewakili lelaki berkenaan iaitu Mohd Ruzaini Zulkifli.

Hakim juga ingin tertuduh maklum terhadap hukuman susulan daripada pengakuan yang dibuatnya.

Bagaimanapun, Mohd Ruzaini yang memaklumkan  dirinya baru dilantik hari ini memohon supaya mahkamah memberinya tempoh untuk meneliti dokumen berkenaan pertuduhan.

“Saya tak pernah jumpa anak guam, ini kali pertama kami bertemu, jadi saya menasihatinya supaya tidak mengaku bersalah memandangkan dia berdepan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun jika sabit kesalahan.

“Saya akan bincang mengenai pengakuan bersalah ini bersama anak guam selain perlu meneliti dokumen berkaitan kes,” katanya.

Mahkamah kemudian merekodkan tertuduh memahami sebab dan akibat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan serta hukuman mengikut Seksyen 302 iaitu membunuh.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Ishak memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk serahan dokumen.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Oktober depan untuk pengurusan kes.

Afendi didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian bapanya yang juga pesara Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Muhammad Agus @ Muhamed Ali Omar, 82, dan ibunya, Darlisma Njatu Saleh, 72, antara pukul 7.10 hingga 7.20 malam pada 9 Disember tahun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di rumah di Kampung Sungai Penchala Jalan Penchala Hilir.

Dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sebelum ini dilaporkan, ketika kejadian berlaku polis dimaklumkan menerima maklumat daripada orang awam berlaku pergaduhan keluarga tertuduh.

Kemudian pasangan suami isteri warga emas itu ditemui mati di ruang tamu kediaman mereka dengan beberapa kesan tikaman di tubuh dipercayai perbuatan anak lelakinya yang telah melarikan diri.

Namun polis berjaya menangkap penganggur berkenaan dan hasil siasatan mendapati dia mempunyai sembilan rekod jenayah.

Selain itu, hasil ujian saringan air kencing menunjukkan tertuduh positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan morfin.-MalaysiaGazette