BANGI – Pertemuan di antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) yang dijadualkan petang ini, ditunda.

Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ini kerana Menteri Perpaduan, Datuk Seri Aaron Ago Dagang tidak dapat menghadiri pertemuan itu.

“Saya cadang asalnya petang ini pertemuan itu diadakan tetapi Pengerusi Bersama dalam Jawatankuasa Harmoni, Datuk Aaron Ago Dagang mohon kepada saya untuk pertemuan itu dibuat sekali dengan beliau.

“Jadi dia tidak boleh hadir petang ini, kita akan  cari tarikh yang sesuai antara saya dengan Aaron untuk kita adakan pertemuan tersebut.

“Pertemuan petang ini akan ditangguhkan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Menteri di JPM Bersama Pelajar Baharu Tajaan

Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia ILIM Kampus Bangi, hari ini.

Mohd Na’im berkata Aaron memaklumkan kepada beliau hasrat untuk menyertai pertemuan dengan MCCBCHST bantahan majlis itu berkaitan penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di jabatan kerajaan.

Sebelum ini, Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan memaklumkan, Mesyuarat Jawatankuasa Harmoni (JK HARMONI) yang dikendalikan bersama kementerian ini dan Jakim telah menubuhkan tiga biro (sub jawatankuasa) bertujuan memastikan gerak kerja lebih efektif dalam melaksanakan inisiatif keharmonian antara agama di negara ini.

Jelasnya, salah satu biro adalah Biro Pengurusan Isu Agama dan Mediasi yang memberi tumpuan dalam usaha merungkai isu-isu dan konflik berkaitan agama yang berlaku dalam kalangan masyarakat yang berpotensi mengancam perpaduan dan kesejahteraan masyarakat di Malaysia.

MCCBCHST sebelum ini dalam satu kenyataan membantah cadangan menempatkan pegawai JAKIM di jabatan kerajaan yang didakwa berpotensi menjejaskan jaminan Perlembagaan termasuk hak asasi dilindungi Perkara 5 hingga 13, yang juga membentuk struktur asas Perlembagaan.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada artikel disiarkan Daily Express yang memetik dakwaan Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), David Ong berhubung perkara terbabit.

Bagaimanapun, Na’im menjelaskan tujuan pegawai JAKIM ditempatkan hanya untuk mengendalikan program keagamaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Penempatan pegawai Jakim: Na’im jumpa MCCBCHST esok