Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) memandang serius kenyataan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, perkara tersebut perlu diperjelaskan dan diharmonikan.

“MAIM berpandangan penempatan pegawai di pelbagai kementerian adalah satu langkah penting dalam menyelaraskan aktiviti keagamaan.

“Langkah ini perlu memandangkan terdapat beberapa isu dan permasalahan berkaitan agama Islam yang memerlukan rujukan dan bimbingan khusus pegawai terlatih dan dalam konteks ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah pihak yang tepat untuk memainkan peranan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, peruntukan kewangan untuk pentadbiran hal ehwal agama Islam telah lama dipraktikkan oleh pentadbiran kerajaan sebelum ini dan kini adalah kesinambungan kepada usaha yang lalu.

MAIM menegaskan usaha membangkitkan isu tersebut  tidak berasas memandangkan bantuan untuk perkara-perkara lain kepada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat tetap diteruskan.

“MAIM mengambil positif terhadap usaha kerajaan dan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kesediaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Datuk Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, agar diadakan pertemuan dengan pihak terbabit dalam menerangkan isu yang ditimbulkan,” ujarnya.

Sebelum ini tular dakwaan yang dikeluarkan oleh MCCBCHST yang mendakwa kononnya pegawai JAKIM yang ditempatkan di setiap jabatan kerajaan akan mengganggu penggubalan dasar. – MalaysiaGazette