Putera Hisahito

TOKYO- Pewaris muda empayar Jepun, Putera Hisahito menyambut ulang tahun ke-18, Jumaat lalu.

Beliau merupakan harapan terakhir bagi memastikan kelangsungan keluarga empayar Jepun melainkan kerajaan bersetuju untuk menukar undang-undang membenarkan wanita menaiki tahta.

Meskipun, majlis rasmi sambutan ulang tahun beliau telah dianjakkan ke tahun 2025 bagi membolehkan anak muda itu menghabiskan persekolahannya, namun Imperial Household Agency tetap menerbitkan video Putera Hisahito sedang berjalan-jalan di dalam hutan.

Katanya, Putera Hisahito sangat meminati sejarah semulajadi.

“Saya harap boleh belajar dengan lebih mendalam menerusi pengalaman,” katanya.

Hisahito merupakan putera tunggal Putera Mahkota Akishino,58, dan Puteri Mahkota Kiko,57.

Beliau merupakan pewaris kedua empayar Jepun yang diterajui bapa saudaranya, Maharaja Naruhito, 64.

Naruhito mempunyai seorang puteri, Aiko, 22, bagaimanapun beliau tidak boleh mewarisi tahta daripada ayahandanya berikutan Undang-Undang Diraja Jepun sejak 1947 yang tidak membenarkan wanita menaiki tahta.- AFP