KUALA LUMPUR – Polis masih menunggu maklumat terkini berhubung penahanan tujuh rakyat Malaysia yang dikesan memasuki perairan negara itu secara haram pada Ahad lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, setakat ini pihaknya belum menerima perkembangan terbaharu.

“Belum ada maklumat lanjut yang kita terima daripada pihak berkuasa Filipina dan perkembangan terbaru seperti kenyataan dikeluarkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini.

“Maklumat mengatakan mereka sudah dipindahkan di Manila juga belum diterima dan kita percaya apabila berlaku pergerakan, sudah tentu pihak berkuasa di sana masih melaksanakan siasatan lanjut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Bil 68 Siri 3/2024 di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Bagaimanapun Jauhteh berkata, polis menghormati tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa Filipina itu.

Terdahulu dilaporkan, pihak berkuasa Filipina menahan 15 individu terdiri daripada tujuh rakyat Malaysia dan lapan warga China selepas disyaki memasuki perairan negara itu secara haram.

Penahanan itu susulan kesemua mereka yang memasuki perairan negara tersebut dengan bot laju gagal menunjukkan memiliki dokumen sah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan sedang berusaha membawa balik semua warganegara tempatan itu.- MalaysiaGazette