Datuk Seri Yahaya Othman

KUANTAN – Lima individu yang ditahan kerana disyaki menyerang seorang lelaki di sebuah kandang kuda, di sini, telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Penahanan tersebut susulan laporan polis oleh seorang lelaki yang mendakwa diserang seorang kerabat Pahang bersama sekumpulan lelaki, Jun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, selain itu beberapa saksi lain dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan

”Kita telah menghantar kertas siasatan sebelum ini namun dikembalikan, kini kami dalam proses melengkapkan siasatan untuk penambahan beberapa perkara sebelum diserahkan semula kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki, Awang Alias, 44, mendakwa diserang seorang kerabat Pahang bersama sekumpulan lelaki, Jun lalu.

Katanya, kejadian berlaku di sebuah kandang kuda di sekitar Kuantan apabila mangsa mendakwa telah dipukul, ditikam dan ditembak dengan dua das tembakan.

Difahamkan mangsa merupakan pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan dihubungi oleh seorang individu dipercayai orang suruhan anak kerabat berkenaan untuk bertemu dengannya.

Beliau kemudan diserang oleh kira-kira 20 orang termasuk anak kerabat berkenaan di mana seorang rakannya telah menyerang mangsa dengan menikam peha kanan menggunakan pisau.

Manakala ’anak Tengku’ pula melepaskan tembakan ke arah kaki Aliasn namun tidak mengenai sasaran.

Menurut Yahaya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan merusuh. – MalaysiaGazette